Header Ads

3 pemain muda wanita sedia sahut cabaran

KUALA LUMPUR: Tiga pemain golf muda di bawah Program Pembangunan LPGA Sime Darby sudah bersedia mengibar Jalur Gemilang pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Mines Resort and Golf Club, Seri Kembangan, dari 22 hingga 26 Ogos ini.
Tiga pemain wanita berkenaan ialah Ashley Lau, 17; Loy Hee Ying, 20; dan Nur Durriyah Damian, 22.
Loy, pemain dengan ranking tertinggi pada kedudukan ke-111 dengan pelbagai pencapaian termasuk pingat perak di Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN pada 2012 dan emas Sukan Malaysia 2014, berkata beliau bertekad mempamerkan aksi terbaik di gelanggang sendiri.
"Ia bakal menjadi ujian yang baik untuk mengetahui setakat mana permainan saya sekarang dan saya tahu ia akan menjadi sangat sengit. Saya berpendapat adalah langkah baik Sime Darby terus menyokong sukan golf menerusi Sime Darby LPGA dan program pembangunan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Sime Darby LPGA Malaysia.
"Sebagai peserta dalam program pembangunan, kami perlukan program sedemikian di Malaysia untuk menyokong dan memupuk golf wanita di Malaysia. Saya juga berterima kasih kepada Persatuan Golf Malaysia di atas sokongan mereka kepada saya sehingga saya berada di kedudukan sekarang," kata penuntut East Tennessee State University, Amerika Syarikat itu.
Menyuarakan nada yang sama ialah Lau yang akan menggunakan pengalamannya bermain di pertandingan Sime Darby LPGA 2016 pada KL2017 ini, selepas muncul sebagai amatur terbaik di Pertandingan Kelayakan Kebangsaan.
"Saya akan beraksi di Sukan SEA dan akan memberikan perhatian di padang, berseronok menikmati golf dan diharap dapat mempraktikkan apa yang dipelajari daripada latihan saya," kata pemain golf yang berpangkalan di Australia itu.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Sime Darby (SDF) Tun Musa Hitam berkata Program Pembangunan Sime Darby LPGA yang bermula sejak 2009 menyasarkan untuk memberikan bakat tempatan peluang mengejar impian mereka dalam kerjaya golf.
Beliau berkata, kejayaan bekas dua peserta program itu - Kelly Tan dan Michelle Koh untuk bermain di Sukan Olimpik Rio 2016 dan penyertaan tiga pemain berkenaan dalam KL2017, membuktikan program ini membantu lebih ramai pemain tempatan mampu mencapai kemasyhuran di pentas antarabangsa.
"Sime Darby LPGA berbangga dengan sejarahnya memupuk bakat tempatan dan memberikan mereka pendedahan yang amat diperlukan. Kini sudah musim kelapan ia berkhidmat sebagai platform untuk bakat terbaik wanita muda Malaysia bertanding di dalam acara kelas dunia, dan kami gembira kualiti pemain golf yang dipupuk ini terus meningkat dengan sokongan program pembangunan tahunan ini," kata Musa. - BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.