Header Ads

Abdul Latif Keracunan Makanan, Jejaskan Prestasi Sulung Di #KL2017


KUALA LUMPUR: Prestasi atlet paralimpik negara Abdul Latif Romly yang kurang menyerlah dalam aksi sulungnya dalam temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) adalah ekoran keracunan makanan.

Abdul Latif yang menduduki tempat ketujuh daripada 11 atlet dalam acara lompat jauh lelaki, adalah antara 16 atlet Malaysia yang terlibat dalam isu keracunan makanan hari ini.

Ketua Jurulatih Olahraga Negara Zainal Abbas berkata pemegang pingat emas paralimpik Rio tahun lepas dengan rekod lompatan 7.60m itu tidak berada di tahap terbaiknya hari ini, justeru tidak dapat memberikan prestasi cemerlangnya.

"Dia demam hari ini, malah dia cirit-birit sejak pagi tadi," katanya kepada Bernama, apabila ditemui di venue acara itu hari ini.

Dalam acara terbabit, Abdul Latif, sekadar mencatatkan lompatan sejauh 7.34m, manakala rakan senegaranya Luqman Hakim Ramlan mencatatkan 7.12m dan berada di tempat ketujuh.

Pingat emas bagi acara itu dimenangi Bui Van Dong dari Vietnam dengan catatan 7.83m, perak diraih Suwandi Wijaya dari Indonesia dengan catatan 7.78m, dan gangsa oleh Janry Ubas dari Filipina dengan catatan 7.75m.

Zainal bagaimanapun, tidak dapat mengesahkan sama ada punca keracunan disebabkan makanan daripada luar atau makanan hotel tempat kontinjen negara menginap.

Terdahulu, Presiden Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar dalam sidang media berkata pihak berkuasa sedang menyiasat punca menyebabkan 16 atlet Malaysia keracunan makanan.

Abdul latif merupakan antara dua atlet yang mencatat sejarah sebagai atlet para pertama menyertai temasya dwitahunan terbesar Asia Tenggara itu.

Seorang lagi atlet paralimpik ialah Muhammad Ziyad Zolkefli, yang memenangi pingat gangsa dalam acara lontar peluru lelaki semalam.

- Bernama

No comments

Powered by Blogger.