Header Ads

Boling Padang: Pairs Wanita Tambah Pingat Emas Kelima #BangkitBersama #KitaJuara #KL2017


KUALA LUMPUR: Beregu boling padang wanita negara, Siti Zalina Ahmad dan Auni Fathiah Khamis ternyata 'menjadi' apabila mengetepikan cabaran sengit pasangan Brunei pada pusingan final di Pusat Boling Padang Nasional, Bukit Kiara, di sini hari ini.

Skuad negara membuka langkah dengan mendahului 2-0 pada ends pertama sebelum terus menambah mata hingga ke ends ke-10, yang menyaksikan negara terus menjarakkan kedudukan 10-5.

Mendapat suntikan semangat daripada kejayaan empat pungutan emas rakan sepasukan sebelum ini, beregu negara terus mengekalkan momentum dengan menambah tiga mata pada ends ke-13 menjadikan mata 14-7.

Brunei yang diwakili Esmawandy Brahim dan Dk Nurul Nabilah Pg Md Salleh Chuchu cuba bangkit untuk menambah mata pada ends ke-12 namun beregu itu gagal untuk mengejar dengan jarak kedudukan 15-8 apabila skuad negara sering menambah satu mata pada setiap ends sehingga tamat perlawanan.

Rezeki pingat emas sekali lagi memihak kepada beregu negara apabila menamatkan perlawanan dengan mata 17-10 sekali gus menjadikan lima pingat emas dan satu perak bagi acara itu setakat ini.

Dalam acara yang disertai empat negara itu, pingat gangsa menjadi milik Filipina.

Bagi Siti Zalina, kutipan emas kelima itu merupakan bonus untuk kontinjen boling padang sekali gus mengangkat martabat acara itu di mata masyarakat negara ini.

Mengulas mengenai perlawanan, beliau bersama rakan regunya Auni Fathiah bermain secara taktikal selain mengawal perasaan gemuruh walaupun mata yang diperoleh jauh meninggalkan pasukan lawan.

"Kami rasa lega, sasaran empat pingat emas diperoleh dan ini yang kelima untuk acara boling padang. Ini adalah pencapaian membanggakan," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Merupakan pemegang pingat emas Sukan Komanwel Manchester (2002), Sukan Komanwel Melbourne 2006, pingat perak Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand serta pingat emas World Champion of Champions (2015 dan 2016), Siti Zalina mahu rakan sepasukan yang akan bertanding esok agar mengekalkan momentum permainan sedia ada.

Hadir menyempurnakan majlis penyampaian pingat adalah adik kepada Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah iaitu Pangeran Jefri Bolkiah.

Dua lagi pingat emas bakal ditawarkan esok dalam acara single lelaki negara menentang Singapura manakala single wanita menentang Brunei di lokasi sama pada 9 pagi dan 2.30 petang.

- Bernama

No comments

Powered by Blogger.