Header Ads

Detik Manis ! Juara Olimpik Tersungkur Dengan Bidikan Johnathan #BangkitBersama #KitaJuara #KL2017


PENEMBAK negara, Johnathan Wong. melakar kejutan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) apabila menjinakkan juara Olimpik Rio, Hoang Xuan Vinh dalam final acara 10m air pistol di Lapang Sasar Menembak Nasional Subang, dekat sini, hari ini.

Penembak negara berusia 25 tahun itu mencatatkan 238.30 mata untuk merangkul emas serta mencipta rekod baharu Sukan SEA manakala Xuan Vinh, 40, yang memenangi acara emas dalam acara sama di Rio tahun lepas. meraih perak dengan 234.10 mata.

Penembak Myanmar, Kyaw Swar Win merangkul gangsa selepas membidik 214.80 mata manakala seorang lagi wakil negara, Eddy Chew menduduki tangga kelima daripada lapan peserta setelah mengumpul 175 mata.

Pencapaian emas oleh Johnathan selepas gagal menyerlah pada penampilan pertamanya di Olimpik Rio merupakan hadiah hari jadi paling bermakna ibagi penembak itu.

"Kejayaan ini merupakan perkara paling bermakna untuk saya kerana saya baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran saya yang ke-25, Rabu lepas.

" Pengorbanan saya untuk menangguhkan pengajian di Universiti Putra Malaysia, sebelum ini amat berbaloi dengan pingat emas yang saya perolehi hari ini," kata Johnathan ketika ditemui pemberita selepas berakhirnya acara berkenaan.

Rekod terdahulu acara berkenaan dicipta oleh penembak Vietnam, Tran Quoc Cuong yang mencatat 197.4 mata pada edisi 2015 di Singapura.

Johnathan pada masa sama turut mendedikasikan kejayaan emas tersebut kepada ahli keluarganya yang sanggup datang dari Melaka semata-mata mahu memberikan sokongan kepadanya pada edisi ke-29 temasya sukan dwitahunan itu.

"Selain keluarga, saya turut berterima kasih kepada barisan jurulatih dan juga staf Institut Sukan Negara dan Majlis Sukan Negara yang banyak membantu saya selama ini serta rakyat Malaysia yang memberikan sokongan padu kepada saya dan atlet negara yang lain pada KL2017," jelasnya yang mengintai peluang beraksi pada Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018.

Dalam pada itu, penembak veteran negara, Nur Suryani Mohamed Taibi berpuas hati dengan kutipan pingat gangsa dalam acara 50m rifle tiga posisi wanita pada penampilan kali kesembilan pada Sukan SEA.

"Saya perlu bersaing dengan beberapa penembak Olimpik selain menghadapi masalah senjata namun saya berjaya mengatasi masalah tersebut.

"Walaupun ketinggalan pada satu ketika, saya bangkit memberikan saingan pada penghujung dan berjaya meraih pingat gangsa," jelas Nur Suryani yang merupakan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Sementara itu, penembak negara berpangkalan di London, Bernard Yeoh berpuas hati dengan persembahannya apabila meraih pingat perak acara trap selepas acara itu tidak dipertandingkan pada tiga edisi lepas.

"Ini merupakan pertandingan yang amat sukar saya hadapi selepas kembali semula ke acara ini," kata pemilik restoran berusia 47 tahun itu.

Penembak veteran itu merangkul empat pingat gangsa dalam acara berpasukan dalam siri Sukan SEA iaitu Hanoi 2003, Manila 2005 and Korat 2007 selain perak pada edisi 2015.

- Bernama

No comments

Powered by Blogger.