Header Ads

Irene Raih Gangsa Triatlon Untuk Malaysia #BangkitBersama #KitaJuara #KL2017


PUTRAJAYA, 21 Ogos - Triatlet Malaysia Irene Chong See Win merangkul pingat gangsa dalam acara triatlon wanita dengan catatan masa 2:25:44s pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 hari ini.

Irene, dilihat menitiskan air mata gembira sebaik tiba di garisan penamat, dan mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukannya Zoe Natasha Bowden yang sentiasa meniupkan semangat kepadanya sepanjang perlumbaan itu.

"Saya tidak dapat melakukannya tanpa kata-kata perangsang daripadanya sepanjang perlumbaan. Kami telah berusaha melakukan yang terbaik dan tidak timbul rasa kesal. Siapa yang menang tidak penting," katanya.

Menyasarkan pingat pada Sukan Komanwel 2018 dan Sukan Asia tahun depan, Irene berjanji untuk mencipta kejayaan lebih baik di masa depan.

Dua triatlet Filipina mengungguli acara itu dengan merangkul pingat emas dan perak masing-masing menerusi Marion Kim Mangrobang dengan catatan masa 2:11:14s dan Maria Claire Adorna 2:18:58s.

Bagaimanapun tuah tidak memihak kepada triatlet lelaki negara apabila pemenang pingat perak Sukan SEA 2015 Rikigoro Shinozuka sekadar menduduki tempat keenam.

"Saya telah melakukan yang terbaik. Ia jauh lebih sukar daripada Sukan SEA sebelum ini dan tuah tidak menyebelahi saya hari ini," katanya.

Triatlet Filipina Huelgas Nikko Bryan yang merekodkan masa 1:59:30s mempertahankan pingat emas yang dimenanginya pada Sukan SEA Singapura 2015 dan perak turut menjadi milik rakan sepasukannya John Chinano dengan catatan masa 2:01:27s manakala gangsa menjadi milik Clement Chow Sheng Ren daripada Singapura dengan masa 2:03:24s.

- Bernama

No comments

Powered by Blogger.