Header Ads

Jangan Cemari Sukan SEA Dengan Pergaduhan Penyokong #KL2017


SEREMBAN 25 Ogos - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini menggesa semua pihak terutamanya rakyat Malaysia tidak mencetuskan sebarang masalah hingga mencalarkan imej negara sepanjang Sukan SEA ke-29 (KL2017) yang sedang berlangsung.

Beliau berkata, para penonton yang hadir pada mana-mana venue perlu menikmati pengalaman temasya sukan itu dengan memberi sokongan dan kata-kata perangsang kepada pasukan negara atas semangat kesukanan tinggi.

"Semua rakyat sama-sama menikmati Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dengan baik. Usah dicemari dengan pergaduhan, mengeluarkan kata-kata kesat yang boleh menyebabkan pihak lain tidak senang hati," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan rasmi ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di sini hari ini.

Jelasnya, insiden dua penyokong Myanmar cedera parah dibelasah dipercayai oleh sekumpulan lelaki selepas menonton perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Myanmar pada Isnin lalu tidak sepatutnya berlaku.

Tambahnya, insiden tersebut boleh dibendung daripada awal jika semua pihak memiliki semangat kesukanan yang tinggi.

"Di mana semangat kesukanan kita. Perlakuan tersebut seolah-olah berada di zaman batu. Ini (perlawanan bola sepak) adalah permainan untuk setiap orang berseronok.

"Kita bersorak, berteriak itu untuk memberi sokongan kepada pasukan masing-masing tetapi kenapa ia dibawa keluar sehingga hendak bertumbuk dan sebagainya," katanya.

- utusan online

No comments

Powered by Blogger.