Header Ads

Jangan Leka Berdepan Myanmar #KL2017

SHAH ALAM - Kapten skuad bawah 22 (B-22), Adib Zainuddin menggesa rakan sepasukannya agar tidak terlalu leka biarpun sudah hampir pasti melayakkan diri ke separuh akhir Sukan SEA memandangkan lawan yang seterusnya lebih sukar.

Katanya, berdasarkan prestasi semasa, mereka tidak menunjukkan aksi konsisten dan pertemuan menentang Myanmar di Stadium Shah Alam pada Isnin ini pastinya sukar memandangkan skuad kendalian Gerd Zeise itu berada di tangga teratas Kumpulan A selepas mengutip mata maksimum daripada tiga perlawanan.

“Keme­nangan menentang Singapura merupakan batu loncatan kepada kami untuk layak secara automatik ke separuh akhir namun apa yang perlu ditingkatkan adalah daripada segi konsistensi permainan. Kami tahu kami tidak bagus pada babak pertama dan kembali mempamerkan persembahan terbaik pada 45 minit seterusnya.

“Saya harap selepas ini, kami lebih konsisten agar tidak meragukan penyokong. Kami tidak boleh ambil mudah pada aksi seterusnya sebab akan jumpa pasukan yang sedang meningkat naik.

“Apa yang pasti, pertemuan terakhir menentang Myanmar tidak boleh dijadikan rujukan sebab itu aksi persahabatan sahaja,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.

Skuad B-22 negara berjaya melakar kemenangan 2-0 ketika menentang Myanmar di Stadium Shah Alam, bulan lalu.

Tambah Adib, dia mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sentiasa mengambil berat terhadap perkembangan semasa pasukan.

“Tunku Ismail sentiasa menghubungi pasukan untuk menyampaikan kata-kata semangat. Saya percaya dengan sokongan penuh yang diberikan oleh beliau, kami menjadi lebih bersemangat untuk perlawanan seterusnya sekali gus merealisasikan impian penyokong untuk melihat kami beraksi di final nanti,” katanya.

- utusan online

No comments

Powered by Blogger.