Header Ads

Kegigihan Nik Fariezal Berbalas Dengan Suntikan Semangat #BangkitBersama #KL2017


KUALA LUMPUR - Kegigihan atlet pelapis olahraga, Nik Fariezal Erman Nik Abd Hadi berjaya melayakkan diri ke Sukan SEA Ke-29 (KL2017) telah menarik perhatian pemaju rumah mampu milik, DBI Technology Sdn Bhd untuk tampil menajanya.

Ketua Pegawai Eksekutif DBI Technology, Datuk Norul Iman Abd. Rahman berkata, tajaan itu merupakan tanggungjawab sosial korporat syarikat itu dalam membantu bidang sukan terutama di kalangan atlet muda negara.

Melalui penajaan tersebut, atlet acara lompat kijang itu menerima tajaan berbentuk wang tunai serta barangan sukan.

"Kami berasa sangat berbesar hati dan bangga kerana dapat menaja atlet muda yang merupakan sumper inspirasi rakyat Malaysia untuk bertanding pada kejohanan berprestij di rantau Asia Tenggara ini.

"Nik Fariezal telah membuktikan impian kita mampu menjadi kenyataan jika berusaha bersungguh-sungguh biarpun berdepan dengan pelbagai rintangan dan kesusahan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nik Fariezal merupakan anak jati Dungun, Terengganu kini berada di kedudukan nombor dua di belakang pemegang rekod kebangsaan, Muhammad Hakimi Ismail.

Kejayaan Nik Fariezal telah mencuri perhatian DBI Technology.

Sementara itu, jelas Nik Fariezal, antara kejayaannya ialah memenangi pingat emas acara lompat kijang dan pingat perak acara lompat jauh di Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak tahun lalu.

"Saya berlatih sejak akhir tahun lalu tanpa mendapat sebarang elaun bulanan dan bantuan tempat tinggal dengan menggunakan wang saku sendiri selain menumpang di rumah saudara.

"Selain itu, saya berdepan kesulitan berulang-alik ke tempat latihan menaiki motosikal yang sering mengalami kerosakan, saya turut menghadapi masalah kewangan untuk menampung kehidupan seharian," ujarnya.

Jelas anak ketiga daripada enam beradik itu, biarpun sesibuk mana menjalani latihan dua kali sehari, dia terpaksa melakukan kerja sambilan untuk mencari wang.

"Antara kerja yang pernah dilakukan adalah menjaga parkir dan pengawal keselamatan.

"Saya juga menyertai Terbuka Thailand pada Ramadan lalu sebagai pemilihan terakhir ke KL2017 hanya berbekal wang saku berbelas ringgit sahaja," katanya.

Namun, Nik Fariezal mempamerkan aksi cemerlang dengan catatan sejauh 15.29 meter di kejohanan itu sekali gus meletakkan dirinya kini berada di kedudukan kedua di Malaysia pada tahun ini dan layak ke KL2017.

Untuk rekod, anak jati Dungun ini merupakan pemenang pingat Perak Kejohanan Sekolah Asia dan pingat emas Kejohanan Sekolah ASEAN tahun 2014, pingat Perak Kejohanan Terbuka Malaysia (2015) dan finalis Kejohanan Olahraga Dalam Dewan di Doha, Qatar (2016). 

Jelas bakal mahasiswa Universiti Putra Malaysia ini, pada KL2017 ini, dia hanya mahu menumpukan fokus untuk mengatasi catatan peribadinya sejauh 15.53 meter dan tidak mahu membebankan diri dengan sasaran pingat.

Walaupun tetap tersirat di hati memenangi pingat tanpa mengira warna pada temasya kali ini, dia yakin idolanya, Muhammad Hakimi mampu mempertahan pingat emas di Sukan SEA Singapura dua tahun lalu.

"Jika rezeki saya menang pingat, sudah pasti hendak dedikasikan kejayaan itu kepada ibu bapa, keluarga, jurulatih, kawan-kawan dan rakyat Malaysia yang tidak putus memberi sokongan berterusan kepada atlet negara,” katanya.

Nik Fariezal akan beraksi pada malam 23 Ogos di Stadium Nasional Bukit Jalil.

- astro awani

No comments

Powered by Blogger.