Header Ads

Kehadiran Nama Besar , POLO Ekuestrian Jadi Tarikan #BangkitBersama #KL2017


Menjadi pertembungan paling dinantikan, perlawanan polo ekuestrian campuran berkumpulan Sukan SEA Ke-29 antara Malaysia dan Brunei dijangka menarik kehadiran penonton yang cukup ramai .

Tular di media sosial tentang kehadiran ramai golongan kenamaan yang turut tidak mahu ketinggalan memberi sokongan buat pasukan pilihan masing-masing termasuk Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pertembungan antara kedua-dua pasukan dijangka bermula tepat empat petang ini. Perlawanan itu nanti turut menjadi satu pertemuan bersejarah menyaksikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang mengetuai Malaysia menentang Brunei yang diterajui Putera Abdul Mateen.

Perlawanan pembukaan acara ekuestrian polo Sukan SEA ke-29, Kuala Lumpur 2017 (KL2017) antara Malaysia dan Brunei akan berlangsung di Taman Ekuestrian Putrajaya.

Berdasarkan senarai pasukan yang mengambil bahagian, antara tujuh pemain yang disenaraikan dalam pasukan polo Brunei, empat pemain merupakan kerabat diraja Brunei iaitu Putera Abdul Mateen Bolkiah, 26; Puteri Azemah Ni’matul Bolkiah, 33; Pengiran Muda Bahar Bolkiah, 36; dan Pengiran Muda Abdul Qawi, 43. 

Putera Abdul Mateen merupakan barisan keenam pemegang takhta kesultanan Brunei, dikenali ramai sebagai aktif bersukan manakala kekandanya, Azemah Ni’matul antara dua pemain polo wanita bagi acara ekuestrian polo KL2017.

Bagi pasukan Malaysia, Khairy, yang merupakan menteri pertama di rantau ini yang mengambil bahagian dalam sukan dwitahunan itu, akan bermain bersama enam pemain utama polo Malaysia.

Mereka ialah Shaik Reismann Mohamed Ismail, Muhammad Faizal Abu Bakar, Abdul Rashid Hasnan, Amran Selamat, Tengku Ahmad Shazril Ezzani Tengku Suleiman dan Mohd Zulhelmi Nadzar.

Pengurus pasukan Malaysia, Mohamad Zekri Ibrahim melahirkan rasa bangga kerana Khairy menyertai pasukan itu, tambahan pula menteri berkenaan adalah seorang pemain polo yang berpengalaman dan menunjukkan komitmen yang tinggi dalam permainan itu.

Ayuh sama-sama kita berikan sokongan kepada pasukan Malaysia

#BangkitBersama #KitaJuara

No comments

Powered by Blogger.