Header Ads

Keluarga Muhammad Irfan Pakai Pakaian Khas #BangkitBersama #KitaJuara #KL2017


AHLI keluarga pemenang pingat emas acara lempar cakera Sukan SEA ke-29, Muhammad Irfan Shamsuddin hari ini hadir di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan memakai pakaian khas.

Tanpa pengetahuan Muhammad Irfan, sebanyak 15 ahli keluarga termasuk ibu bapanya memakai baju berwarna hijau muda yang tertera perkataan 'Malaysia discuss thrower record breaker' di depan baju manakala perkataan 'Beast Mode' terpampang di belakang baju yang direka khas abangnya, Syafiq, 32.

Malah, kain rentang khas turut digantung di dalam stadium bagi menyatakan sokongan padu mereka yang datang dari Seremban, Negeri Sembilan kepada jaguh lempar cakera negara berusia 22 tahun itu yang beraksi hari ini.

Muhammad Irfan mempertahankan emas dimenangi di Singapura dengan catatan 58.36m manakala perak diraih atlet Thailand, Narong Benjaroon (50.65m) dan gangsa pula dimenangi rakan senegara, Abdul Rahman Lee (44.80m).       

Selepas upacara penyampaian pingat, Muhammad Irfan dilihat pergi ke arah anggota keluarganya bagi meraikan kejayaan serta memeluk erat dan mencium kedua ibu bapanya apabila merangkul emas ketiga berturut-turut pada temasya dwi tahunan itu.

Beliau meraih emas pertamanya dalam acara itu pada Sukan SEA Myanmar 2013.

Ibunya, Rubiah Sidek, 64, yang bangga akan kejayaan anak bongsu daripada sembilan beradik yang dilakar di tanah air itu berkata mereka membelanjakan hampir RM750 untuk mereka baju berkenaan.

"Kami sekeluarga sangat gembira melihat kejayaan anak saya pada hari ini namun saya sangat risau akan keadaan Muhammad Irfan yang cedera minggu lepas.

"Kesemua adik beradik Muhammad Irfan hadir menyokongnya pada hari ini kecuali kakak sulungnya yang baru sahaja kehilangan suaminya," katanya.

Wanita itu berkata beliau kerap menghubungi pemegang rekod kebangsaan yang mencatat lemparan sejauh sejauh 61.56m di Republik Czech pada Mei lepas sejak anaknya itu dihimpit kecederaan baru-baru ini bagi bertanya khabar selain menyatakan sokongan agar tidak berputus asa. 

- Bernama

No comments

Powered by Blogger.