Header Ads

Keputusan tukar bola bawa tuah kepada Rafiq



KUALA LUMPUR 20 Ogos – Tindakan daripada gerak hati sendiri untuk menukar bola yang jarang digunakan pada saat akhir permainan nyata membawa tuah kepada pemain boling negara, Muhammad Rafiq Ismail apabila berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya dalam acara perseorangan lelaki pada Sukan SEA ke-29 di Sunway Mega Lane dekat sini, hari ini.

Rafiq merupakan pemenang pingat emas dalam acara tersebut pada temasya di Singapura, dua tahun lalu, setelah menyempurnakan 1418 jatuhan pin.
Pingat perak menjadi milik rakan senegara, Adrian Ang yang melakukan 1402 jatuhan pin, manakala gangsa dimenangi peserta Indonesia, Yeri Ramadona dengan 1380 jatuhan pin.
Pemain berusia 20 tahun itu berkata, dia bermula dengan baik untuk game pertama apabila melakukan 257 jatuhan pin, tetapi dalam permainan berikut, persembahannya mula goyah apabila terpaksa bergelut dengan prestasi sehingga game terakhir.
“Saya cuba sabar dan bincang dengan jurulatih, dan akhirnya dalam game terakhir, saya ambil risiko sendiri untuk menukar bola yang jarang saya pakai.
“Gerak hati saya datang secara tiba-tiba, jadi saya ambil risiko. Ternyata saya buat keputusan yang betul apabila berjaya pertahankan pingat emas,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Menurut Rafiq, dengan sokongan padu penyokong Malaysia, dia terus bertindak nekad tanpa menoleh ke belakang lagi untuk melakukan jatuhan pin sebanyak mungkin.
“Saya sedar pemain lain juga akan bermain sebaik mungkin untuk game terakhir, saya tak boleh terlalu selesa walaupun berada di kedudukan pendahulu. Jadi, saya kena berani ‘mati’,” ujarnya.
Rafiq juga mengakui, dia berasa tertekan kerana untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi dua tahun lalu lebih sukar berbanding melakukannya buat kali pertama.
Sementara itu, ketua jurulatih, Hollaway Cheah memberitahu, dia sememangnya sudah menjangkakan Malaysia berpeluang meraih emas dalam acara lelaki.
“Daripada awal lagi saya sudah menjangkakan kejayaan ini terutama daripada Rafiq. Dia bermula baik, tapi dalam game kedua dia kelihatan goyah, nasib baik Rafiq mampu bertahan.
“Saya mula perasan perubahan emosi Rafiq, jadi saya minta dia bertenang dan ternyata usaha itu berhasil,” katanya.
Jatuhan pin yang dilakukan Muhammad Rafiq Ismail dalam Sukan SEA Ke-29
Jatuhan pin yang membolehkan Adrian Ang dari Malaysia memperoleh pingat perak

UTUSAN


No comments

Powered by Blogger.