Header Ads

#kitasamahero: Manisnya karma ! Pengalaman Wartawan Astro Awani #BangkitBersama #KitaJuara #KL2017

KUARTET ekuin negara dinobat sebagai juara acara dressage berkumpulan pada Selasa, sekali gus mengutip sebutir lagi pingat emas untuk negara terus mengejar sasaran 111 emas dalam temasya Sukan SEA kali ini.

Selaku tuan rumah, pasukan yang dibarisi Qabil Ambak Mahamad Fathil selaku ketua, adiknya Quzandria Nur, Edric Lee Chin Hon, dan Quek Sue Yian, gah melangkah naik podium untuk dikalungkan pingat idaman.

Usai upacara kalungan pingat, pasukan Malaysia bersama Thailand, yang dipimpin Puteri Rajanya, Puteri Sirivannavarinariratana Vijayalongkhorn, di tempat kedua, serta pasukan Singapura di tempat ketiga, kembali menaiki kuda masing-masing untuk melakukan ‘victory lap’.

Disaksikan penonton yang memenuhi Pusat Ekuestrian 3Q, Rawang itu, Qabil, legenda ekuestrian negara yang mencatat mata tertinggi pada pagi itu dengan 73.053 mata penuh, bangga mengibar Jalur Gemilang di atas kuda kesayangannya, Windsor.

Sedang dia meraikan kejayaan di tengah arena, saya yang sedang menunggu bersama petugas media lain di ruangan temub ual khas, sambil menyaksikan para atlet mengelilingi arena, ternampak sesuatu.

Kelihatannya seperti ada sesuatu yang terjatuh ke tanah dari atas kuda Qabil.

Alamak, itu pingat! Ia terputus dari kalungannya.

Qabil nampaknya tidak menyedari perkara itu dan terus menunggang.

“Eh, medal Qabil putus! Medal dia jatuh!” lantang saya bertempik supaya didengari khalayak di ruang yang dipenuhi para petugas media dalam dan luar negara, serta sukarelawan dan petugas acara, pada pagi itu.

Namun, semua seperti tidak faham dan tidak endah.

Tetapi mata saya tetap terkunci pada tempat pingat itu jatuh, sambil ekor mata memerhati sekiranya ada mana-mana urusetia, petugas venue atau sesiapa yang berdekatan, menyedari dan mengutip pingat tersebut.

Setelah menunggu beberapa ketika, tiada siapa yang muncul. Mungkin tiada siapa pun perasan kejadian tersebut.

Walaupun ia adalah pingat ke-10 buat dirinya, ia tetap sangat berharga untuk Qabil. Tanpa menunggu lebih lama lagi, saya tergerak untuk mengutipnya sendiri sebelum ia rosak dipijak kuda atau lebih buruk, dicuri.

Saya kutip lalu bersihkan pasir dan tanah pada pingat itu. Ya, ia sebutir pingat emas yang sangat cantik. Terukir padanya ‘29th SEA Games Kuala Lumpur 2017’ dan pada bahagian bawahnya ‘Equestrian Dressage Team’. Semua atlet di Asia Tenggara ini bermati-matian untuk mendapatkan pingat ini.


Sempat saya mengelamun seketika, berangan seandainya pingat itu saya yang punya. Tetapi sayangnya ia hak Qabil, dan saya perlu memulangkannya kepada dia yang berhak. Lalu, saya serahkan kepada seorang petugas acara yang berhampiran.

Saya kembali ke ruangan khas temu bual. Sambil menanti detik untuk menemu bual pasukan Malaysia, seorang petugas datang dari tengah arena, cemas bertanyakan kepada petugas lain “Medal Qabil mana? Ada nampak tak?.”

Hilang cemas lelaki itu apabila mendapat pingat yang dicari daripada rakan setugasnya, lalu bergegas kembali ke tengah arena untuk diserahkan kepada Qabil.

Tiba-tiba saya terfikir, “Aku sudah selamatkan pingat emas seorang wira negara. Bermakna aku ini wira kepada wira negara!”. Tersenyum kecil saya mengenangkan 'jasa' sendiri. Tetapi apalah sangat jika mahu dibanding usaha dan pengorbanan Qabil untuk mendapatkan pingat itu untuk negara.

Tak lama kemudian Qabil dan lain-lain tiba, dan gembira menjawab satu-persatu pertanyaan media. Terlihat pada dadanya pingat yang sudah diikat pada kalungnya. Sedikit sebanyak, gembira dia dan rakan-rakan dapat saya rasa, dan ia saya pasti rasa lain daripada penyokong mereka serta seluruh warga Malaysia atas kemenangan pada hari itu.

Beransur pulang

Selesai berkongsi rasa dan menjawab pertanyaan media, kami beransur untuk memberikan laluan kepada rakan media negara lain menemu bual atlet mereka. Ketika saya melewati arena menuju ke kereta untuk pulang, matahari kembali terik. Hendak saya capai cermin mata hitam klip yang saya sangkut pada baju, baru saya sedari ia tiada.

“Aih, mana pula jatuh specs hitam aku ni?”. Saya cemas sambil menepuk-nepuk poket kiri, kanan dan belakang. Beg juga puas digeledah kalau-kalau saya terlupa yang sebenarnya saya simpan di situ.

Tidak ada. Risau saya bukan kepalang. Ini kali kedua cermin mata kesayangan itu hilang, mujur kali pertama ditemukan semula. Janganlah hilang kali ini.

Saya soroti kembali laluan yang saya jejaki tadi, sehingga ke bangunan ruangan khas temu bual yang kini dipenuhi media Thailand dan Singapura yang sedang menemu bual atlet mereka. Sukarelawan dan petugas juga ramai, dan pasukan Malaysia masih berlegar-legar di kawasan itu untuk bergambar bersama penyokong.

“Dik, ada nampak cermin mata hitam tak? Saya punya hilang, rasanya jatuh area sini,” tanya saya pada seorang sukarelawan di situ.

“Tak nampak pula, bang,” katanya yang kemudian membantu pencarian saya di kawasan tersebut. Mesej juga disampaikan kepada rakan sukarelawan lain.

“Janganlah kena pijak,” sambil saya terus mencari-cari di bawah kerusi, meja, di celah pokok, di dalam parit dan di atas lantai, terus berharap ia dapat ditemukan dalam keadaan baik.

Masih tiada. Saya kembali ke arena untuk meneruskan pencarian di sekitar jalan yang saya lalui tadi.

“Kau cari apa?” tanya Abang Cacul. Abang Cacul ini adalah bekas rakan sekerja di AWANI. Dia saya temui awal pagi tadi, sedang mengambil video acara tersebut. Katanya dia kini sebagai in-house cameraman. Tadi pun semasa sidang media dia ada bersama kami.

“Cari specs hitam saya. Abang ada nampak tak?”

"Hah, ada pada aku ni. Aku nampak tadi atas lantai, nampak macam kau punya, aku pun simpankanlah. Nah," sambil mengeluarkan harta kesayangan saya dari beg silangnya.

“Ya Allah, terima kasih banyak-banyak bang!” hela saya lega sambil terus memeluk Abang Cacul. Dialah penyelamat saya pada hari itu. Kami bersalaman sebelum saya meminta diri.

“Kirim salam kawan-kawan di Awani ya!,” teriak Abang Cacul sambil saya balas dengan tanda ibu jari dan berlalu pergi.

Sambil berjalan, saya mengenang kembali apa yang telah dilalui sejak pagi. Seakan percikan, permainan fikiran tiba-tiba kembali bermain.

“Abang Cacul sudah selamatkan cermin mata hitam aku. Aku pula sudah selamatkan pingat emas Qabil.

“Jadi secara teknikalnya, Abang Cacul adalah WIRA kepada WIRA kepada WIRA NEGARA! Dia lebih WIRA daripada kami berdua!.”

Terus ketawa saya seorang diri, mengenangkan Abang Cacul ini, yang nama sebenarnya Samsul Kamal Abdul Latip yang dahulunya dipanggil ‘wira negara’ oleh warga kerja AWANI.

Panggilan itu wujud selepas dia berjaya pulang daripada menempuh cabaran hebat semasa bertugas mengikut misi flotila kemanusian kapal Mavi Marmara ke Gaza, Palestin pada 2010 bersama penyampai berita AWANI, Ashwad Ismail. Malah kami juga sering bergurau dengan memanggilnya ‘Rambo’ kerana peristiwa itu dan juga mimik mukanya yang seakan hero perang fiksyen itu.

“Abang Cacul memang real hero lah!,” kata saya seorang diri, sambil terus melangkah menuju kereta.

#kitasamahero, kan?

wartawan astro awani - Israr Khalid

No comments

Powered by Blogger.