Header Ads

KL2017: KPN Sahkan Tahan Beberapa Suspek Militan


KUALA LUMPUR, 21 Ogos - Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan penahanan beberapa suspek yang disyaki terlibat dalam kegiatan kumpulan militan menerusi beberapa operasi Bahagian Anti Pengganas, Cawangan Khas, Bukit Aman bersempena temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Tanpa mendedahkan jantina dan bilangan suspek itu, beliau berkata mereka yang ditahan terdiri daripada warga tempatan dan rakyat asing.

"Ya, kami ada tahan beberapa suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan militan di seluruh dunia manakala maklumat terperinci mengenai tangkapan ini akan menyusul kemudian.

"Oleh itu, kami akan terus mengesan warga asing yang mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas antarabangsa," katanya dalam sidang berita selepas pelancaran Modul Peningkatan Integriti My Psikologi Spiritual (MyPs) Tahun 2017 di Bukit Aman, di sini.

KL2017, yang dirasmikan Sabtu lepas dan bakal berakhir pada 30 Ogos ini, menyaksikan 38 jenis sukan dipertandingkan melibatkan 404 acara.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai insiden keganasan di Barcelona, Sepanyol baru-baru ini, Khalid berkata pihaknya mengambil beberapa langkah pencegahan dan bersiap sedia untuk menghalang keganasan di negara ini dengan melakukan rondaan bersama-sama anggota Angkatan Tentera Malaysia di beberapa kawasan tumpuan awam dan pelancong di sekitar ibu kota.

Dalam perkembangan lain,beliau mendedahkan seorang daripada tiga lelaki yang direman bagi membantu siasatan kes seorang pegawai rendah polis mati ditembak di Taman Seri Hosba, Changlun, Kedah pada Jumaat lepas, pernah menjalani perintah buang daerah mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Beliau berkata pergerakan lelaki terbabit hanya dihadkan di sekitar daerah Changlun untuk memudahkan polis memantau pergerakannya.

Difahamkan, lelaki terbabit pernah dikenakan perintah buang daerah di Cameron Highlands, Pahang sebelum dibenarkan menetap di Changlun.

Dalam kejadian 10.25 malam itu, Sub Inspektor Abu Hashim Ismail, 54, yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah JSJ Bukit Aman, meninggal dunia di tempat kejadian selepas terkena empat daripada enam das tembakan yang dilepaskan ke arahnya.

No comments

Powered by Blogger.