Header Ads

Kuasa sukan jadi medan penyatuan - Khairy Jamaluddin #BangkitBersama #KitaJuara #KL2017


KUALA LUMPUR: "Kuasa sukan menyatukan, memberi inspirasi dan membawa yang terbaik untuk semua," demikian tegas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Menurutnya, umum mengetahui penganjuran Sukan SEA sudah menjadi antara aspek penting dalam membentuk masyarakat negara Asia Tenggara yang kini semakin matang.
Katanya, 50 tahun lalu, pemimpin dari beberapa negara ini berkumpul untuk menjalin masa depan bersama kerana mereka percaya Asia Tenggara akan menjadi lebih kuat sebagai rantau bersatu.
"Impian mereka bertahan dengan ujian masa dan pembukaan sejarah. 50 tahun kemudian, wilayah ini kini berdiri sebagai masyarakat sejati, damai dan makmur.
"Perkongsian dari asas masa lalu, masa kini dan masa depan, saya percaya ia mewujudkan pengalaman kolektif untuk semua dan Sukan SEA adalah contoh terbaik. Setiap dua tahun negara kita berkumpul bukan hanya untuk bersaing tetapi untuk meraikan komuniti Asia Tenggara ini," katanya ketika berucap pada acara pembukaan Sukan SEA ke-29, sebentar tadi.
Khairy berkata, menerusi sukan kita mencipta kegembiraan, menjalin kenangan dan meninggalkan warisan persahabatan dan semangat kesukanan.
Menurutnya, negara-negara ini bukan sahaja berkembang pesat tetapi kini sudah mampu melahirkan juara di Sukan Olimpik dan dunia.
"Semua juara masa kini dan akan datang bakal dilahirkan di Sukan Asia Tenggara. Bagi mereka, Sukan SEA akan tetap istimewa kerana di sinilah di mana mereka bermula.
"Itu sebabnya tema Sukan SEA ke-29 adalah 'Bangkit Bersama'. Dari baton pertama yang merentasi kota di seluruh Asia Tenggara, marilah kita bersama sebagai negara serantau meraikan ikatan yang menyatukan kita dan bersemangat lebih tinggi untuk membangun masa depan yang lebih cerah bagi merealisasikan impian Asia Tenggara," katanya.
Khairy juga menyeru rakyat negara ini supaya terus bersatu memberi sorakan semangat kepada atlet negara yang bertanding serta berharap temasya ini menjadi medan yang dapat menghakis segala perbezaan dan mencetuskan kesatuan hati yang ikhlas dalam menzahirkan cinta yang tidak berbelah bahagi kepada tanah tumpah darah kita.
"30 juta tangan bersama menggapai impian dan bintang, demi memberi sokongan kepada kontinjen Malaysia dan meraikan destini kita sebagai sebuah negara yang selama-lamanya akan bersatu dan dikurniakan rahmat bahagia," katanya. - BH

No comments

Powered by Blogger.