Header Ads

Malaysia Hampiri Juara Keseluruhan Sukan SEA 2017 #KitaJuara


MALAYSIA di atas landasan untuk muncul sebagai juara keseluruhan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dengan hampir 50% daripada sasaran 111 pingat emas sudah diperoleh, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Pada sidang media selepas penyampaian pingat bagi acara lompat kijang, Khairy berkata KL2017 menyaksikan persembahan hebat terutamanya daripada atlet generasi akan datang. 

“Kami sedang di landasan untuk mencapai 111 pingat.  Semangat kontinjen negara mengagumkan dan sokongan daripada peminat adalah hebat.  Bagaimanapun, sukan ini bukan segalanya mengenai pingat emas.

“Ia mengenai potensi dan masa hadapan sukan, “ katanya, menambah tumpuan perlu diberikan kepada atlet muda yang berpotensi.

Khairy juga mengucapkan tahniah kepada pemenang pingat emas lompat kijang, Muhammad Hakimi Ismail, Welson Sim yang meraih emas dalam 200m lelaki gaya bebas dan Saidatul Husniah Zulkifli yang mendapat perak dalam 200m wanita.

“Ia merupakan kejayaan manis buat Haklmi kerana beliau baru sahaja pulih daripada kecederaan. Saidatul pula, saya percaya beliau mempunyai potensi besar kerana perjalanan masih jauh untuknya. Tahniah,” katanya.

Hakimi mencatat rekod baharu Sukan SEA dan rekod kebangsaan dengan lompatan 16.77m memecahkan rekod peribadinya, 16.76m di Sukan SEA Singapura 2015 sementara Welson mencipta rekod baharu Sukan SEA dalam acara 200m lelaki gaya bebas dengan masa 1:47.79s.

Memetik bintang renang Singapura, Joseph Schooling sebagai contoh, Khairy berkata perenang itu hanya muncul di arena antarabangsa tidak lama dulu dan menggondol pingat emas dalam Olimpik Rio menewaskan perenang legenda, Michael Phelps. 

“Welson mempunyai masa hadapan yang cerah. Perjalanan beliau masih jauh. Begitu juga dengan atlet muda kami seperti Khairul Hafiz Jantan yang baharu berusia 19 tahun,” katanya.

Khairul Hafiz yang digelar Speedy Jantan menyertai acara final 200m malam tadi tetapi gagal memperoleh pingat emas dan hanya mendapat tempat keempat di belakang rakan sepasukan G. Aravin Thevar.

Badang negara, Jackie Wong Siew Cheer melakar rekod baharu Sukan SEA dalam acara baling tukul besi sebelum Elina Goh dan Muhammad Hakimi Ismail meneruskan dengan aksi cemerlang apabila memenangi acara 10km jalan kaki wanita dan lompat kijang lelaki. 

Pasukan karate juga menambah dua pingat, menjadikan lima pingat setakat ini, yang dimenangi Syakilla Salni Jefry Krishnan dalam acara kumite wanita bawah 55kg dan R. Sharmendran dalam kumite bawah 75kg.

Turut menambah kilauan emas semalam, perenang Welson Sim, ratu gimnastik Farah Ann Abdul Hadi dan emas pertama dalam acara tenpin boling daripada trio Esther Cheah, Shalin Zukifli dan Sin Li Jane.

Welson Sim menafikan misi Singapura untuk menyapu bersih enam acara akhir di Pusat Akuatik Nasional. Beliau beraksi cemerlang dan berjaya memperbaharui rekod Sukan SEA kedua dan meraih emas dengan catatan 1:47.49s acara 200m selepas bersaing dengan penyandang acara ini, Hoang Quy Phuoc dari Vietnam yang mencatatkan 1:48.07s untuk perak,  iaitu sama seperti Rekod Sukan SEA di Singapura  1:48.96s.

“Ini perlumbaan yang paling menyakitkan, pertandingan paling saya ingati dalam karier renang, pada 100m yang pertama saya betul-betul pantas,” kata Sim yang memberi kuakan terbaik di pusingan terakhir, sehari selepas mempertahankan pingat acara 400m gaya bebas juga melakar rekod baharu.

Bagi Wong, kemenangannya dalam acara baling tukul besi hadiah hari jadinya yang disambut pada 4 Julai lepas, dan balingan keempat 65.90m telah mencipta rekod baharu Sukan SEA, menewaskan atlet Thailand Kittipong Boonmawan dengan 65.49m. 

Kemenangannya itu menamatkan penantian Malaysia selama 16 tahun, anak kelahiran Sarawak yang berusia 25 tahun itu, memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sebanyak tiga kali tahun ini, dengan catatan terbaik 65.34m.

“Saya berbangga dengan prestasi hari ini malah bukan saja memenangi emas tetapi turut memecah rekod kejohanan di laman sendiri selepas kecewa tiga kali sebelum ini. Saya berterima kasih kepada keluarga yang datang dari kampung serta penyokong di stadium,” katanya yang berhasrat memenangi pingat pada Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia tahun depan.

Gimnas negara, Farah Ann mempertahankan emas dalam acara senaman lantai individu dengan mengumpul 13.45 mata manakala gimnas Filipina, Kaitlin Cera De Guzman dan Rifda Irfanaluthfi, dari Indonesia masing-masing memenangi pingat perak dan gangsa.   

Rifda dinobatkan pemenang acara batang titian dengan 13.125 mata selepas bantahan Indonesia terhadap wakil tuan rumah Tan Ing Yueh.

Dalam acara badminton, dua pingat emas menjadi pertaruhan acara berpasukan lelaki dan wanita yang mengesahkan slot ke final hari ini. Malaysia akan menentang juara bertahan Indonesia dalam acara lelaki manakala wanita akan berentap dengan juara bertahan Thailand.

Dalam acara skuasy beregu wanita,  Rachel Arnold dan Andrea Lee menewaskan pasangan senegara Chan Yiwen dan Naziah Hanis 11-4, 11-10 dalam final manakala Mohammad Syafid Mohd Kamal dan Ng Eain Yow mengatasi pemain Singapura,  Pang Ka Hoe dan Timothy Leon 11-3, 11-4 dalam final beregu lelaki.

Malaysia sudah menggenggam emas dalam acara skuasy apabila beregu campuran akan menjadi pertarungan antara pasangan Ryan Neville Pasqual dan Andrea berentap dengan Sanjay Singh Chal dan S. Sivasangari. – Bernama

No comments

Powered by Blogger.