Header Ads

Malaysia tuai emas ke-40


KUALA LUMPUR: Pelari pecut, Khairul Hafiz Jantan mencetuskan keterujaan luar biasa rakyat Malaysia selepas muncul manusia terpantas Asia Tenggara malam tadi - pencapaian gemilang untuk jangka masa yang panjang ketika kontinjen negara terus mengungguli saingan pungutan pingat pada temasya Sukan SEA ke-29 (KL2017) ini.
Jutaan Malaysia terpaku di hadapan televisyen, selain ribuan penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil ketika pelari pecut digelar Speedy Jantan, 19, itu menghadiahkan pingat emas acara final riben biru Sukan SEA dengan masa 10.38s, iaitu emas ke-16 yang dituai Malaysia untuk hari Selasa.
Kontinjen tuan rumah memperkukuhkan kedudukan carta pungutan pingat dengan 40 emas setakat ini, manakala pesaing terdekat, Singapura memperoleh tiga dari acara renang untuk 20 emas, diikuti Vietnam (16 emas), Indonesia (12), Filipina (lapan) dan empat oleh Myanmar.
Gimnastik dan karate turut mencuri perhatian dengan masing-masing menyumbang tiga emas dan wushu dua lagi serta satu daripada acara berbasikal ujian masa lelaki, dressage berpasukan (ekuestrian), menembak wanita, petanque wanita, perahu layar optimist campuran dan boling acara beregu campuran.
Turut membawa kejutan ialah dua pingat emas dihadiahkan skuad gimnastik artistik lelaki apabila Jeremiah Loo dan pendatang baharu, Tan Fu Jie menamatkan kemarau pingat selama 12 tahun menerusi acara kekuda berpelana.
Skuad karate membuka kempen dengan Celine Lee Xin Yi dan Lim Chee Wei menguasai acara kata wanita dan lelaki, disusuli S Senthil Kumaran dalam kategori kumite bawah 60kg apabila menundukkan wakil Filipina, Jayson Ramli Macaalay 5-3.
Wushu melabuhkan tirai dengan atet veteran Loh Jack Chang muncul sebagai atlet kedua selepas Yeap Wai Kin meraih emas berganda untuk mempertahankan acara Taijiquan selepas gelaran Taijijian, dua hari lalu.
Penembak negara, Alia Sazana Azahari terkejut dan gembira dengan kehadiran ibunya, Sydah Salleh dan adik-beradiknya dari Terengganu, sebelum berjaya mempertahankan emas kategori pistol 25m wanita apabila mengumpul 31 mata di Lapang Sasar Menembak Subang.
Di venue sama, Vietnam menerima kejutan apabila bintang Olimpik, Hoang Xuan Vinh tersingkir dalam usaha mempertahankan acara 50m free pistol yang dimenangi penembak Thailand, Natphanlert Auapinyakul manakala perak dimenangi penembak negara, Jonathan Wong,
Dalam acara petanque, Muhammad Hafizuddin Mat Daud berjaya mempertahankan pingat emas acara singles lelaki dengan mengalahkan Kiatkong Tanong dari Thailand 13-7 pada final.
Pemain muda dan juara perseorangan boling lelaki, Muhammad Rafiq Ismail meraih emas keduanya apabila berganding dengan Sin Li Jane untuk merangkul emas acara beregu campuran.
Di Langkawi, Malaysia muncul juara acara optimist campuran dengan mengetepikan Thailand 2-1 tetapi gagal mempertahankan acara laser standard dan laser radial, masing-masing dikuasai pelayar Singapura dan Thailand.
Esok, Malaysia dijanjikan emas dalam acara skuasy beregu wanita apabila Andrea Lee Jia Qi dan Rachel Arnold akan menentang rakan senegara, Chan Yiwen dan Nazihah Haris dalam final.
Acara beregu lelaki pula akan menjadi pertarungan antara Syafiq Mohd Kamal dan Ng Eain Yow dengan wakil Singapura, Pang Ka Hoe dan Timothy Leong Yew Sing .
Pemain badminton negara turut menempah slot separuh akhir acara individu lelaki dan wanita. - BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.