Header Ads

Noor Quraataina harap tuah basikal pemberian ibu #BangkitBersama #KitaJuara

NILAI: Atlet berbasikal BMX negara, Noor Quraataina Mamat, 21, mengharap tuah basikal dihadiahkan ibunya untuk meraih pingat buat negara pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).
Anak jati Dungun, Terengganu ini memilih menggunakan basikal jenama Delay pemberian ibunya, Kamariah Muda, 43, pada penyertaan sulung dalam acara lumba basikal BMX kategori wanita bagi menyemarakkan semangatnya beraksi pada temasya sukan terbesar di Asia Tenggara itu.
Katanya, basikal yang mencecah harga ribuan ringgit itu dibeli ibunya pada April lalu kerana terharu melihat kesungguhannya menjalani latihan selepas mengambil keputusan berhenti daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada sukan BMX.
"Pada mulanya ibu marah, tidak menyokong saya bermain basikal malah kecewa dengan tindakan saya tidak meneruskan pengajian diploma dalam jurusan Sains Sukan di UiTM Jengka, Pahang walaupun mencatat keputusan peperiksaan cemerlang pada semester pertama.
"Bagaimanapun, melihat keazaman saya, ibu mula menyokong sepenuhnya minat saya dalam sukan ini seterusnya menghadiahkan basikal yang dibeli daripada hasil perniagaan diusahakan bersama ayah di Kampung Sura Tengah, Dungun," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Velodrom Nasional Malaysia di sini.
Noor Quraataina berkata kelebihan selaku penunggang tuan rumah memberi kelebihan kepada beliau dan rakan pelumba lain dalam skuad BMX kebangsaan kerana sudah lama berlatih di trek sama akan digunakan untuk pertandingan nanti.
"Kami mula berlatih di sini sejak Mei lalu di bawah kendalian jurulatih kebangsaan Mohd Arif Syukri Ahmad Sabti dan kini gigih melakukan persiapan terakhir terutama cuba memperkemas pecutan ketika pagar perlumbaan dibuka," katanya.
Seorang lagi pelumba wanita skuad BMX negara, Ariana Nurminda Ariffin, 20, pula meletakkan sasaran peribadi untuk sekurang-kurangnya berada dalam senarai lima pelumba terbaik pada Sukan SEA nanti.
"Saya harus akui pelumba dari Filipina, Indonesia dan Thailand bukan saja sangat laju malah mempunyai kemahiran yang cukup tinggi dan ia semestinya satu cabaran untuk saya bersaing bersama mereka.
"Apa pun saya berjanji akan melakukan yang terbaik demi negara dan berharap keadaan cuaca menyebelahi kami, tidak hujan dan tidak berangin pada hari perlumbaan nanti," kata atlet berasal daripada Sarawak itu.
Perlumbaan BMX pada Sukan SEA kali ini mempertandingkan kategori 'super cross' bagi lelaki dan wanita dan dijadual berlangsung pada 26 Ogos di Arena BMX Nasional di sini.
-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.