Header Ads

Nursheena Sebak, Orang 'Kuat' Tiada Untuk Rai Kejayaan #BangkitBersama #KitaJuara #KL2017


KUALA LUMPUR: Atlet olahraga negara Raja Nursheena Raja Azhar tidak dapat menahan sebak, selepas janji kepada arwah ayahnya untuk memenangi pingat di Sukan SEA, sekali lagi tertunai hari ini dengan beliau meraih pingat perak dalam acara 100m berpagar wanita.

Pelari berusia 26 tahun itu menitiskan air mata ketika mengenang ayahnya yang meninggal dunia pada tahun 2012, setahun sebelum beliau memenangi pingat pertamanya, pingat gangsa dalam Sukan SEA di Myanmar.

Katanya, beliau sedih kerana kejayaannya sekali lagi hari ini tidak dapat diraikan bersama orang 'kuat'nya yang suatu ketika dahulu selalu menaikkan semangatnya.

"Pingat ini untuk arwah bapa saya yang tak dapat tengok saya lari dan untuk mama saya yang tak dapat ke stadium.

"Saya janji nak hadiahkan pingat dan buktikan saya boleh kepada bapa saya, tetapi arwah dah tak ada. Pingat ini juga untuk keluarga saya yang datang dan penyokong," katanya.

Atlet yang membuat penampilan kali keempat di kejohanan kali ke-29 Kuala Lumpur 2017 itu mencatatkan masa 13.92s untuk menempah tempat di podium.

Pingat emas acara itu dimenangi Tran Thi Yen Hoa dari Vietnam dengan catatan 13.40s, manakala gangsa oleh Nur Izlyn Zaini dari Singapura dengan catatan 14.14s.

Mengulas mengenai prestasinya, Raja Nursheena berkata beliau berpuas hati dapat menyumbangkan pingat walaupun tidak dapat memperbaharui rekod peribadi terbaiknya iaitu 13.83s yang dicipta pada Terbuka Perak 2015.

- Bernama

No comments

Powered by Blogger.