Header Ads

Pentas Asia Tenggara untuk bersatu - Tunku Imran


BUKIT JALIL: Di sebalik persaingan di dalam gelanggang, semangat kesukanan, prinsip kebersamaan dan setia kawan harus jadi keutamaan pada penganjuran Sukan SEA ke 29 di Kuala Lumpur kali ini.
Presiden Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar berharap apa yang diinginkan oleh semua pihak mampu terlaksana pada penganjuran kali ini.
"Kepada atlet, skuad sokongan, saya ucapkan selamat maju jaya dan berharap kamu dapat capai impian serta objektif dalam semangat kebersamaan, kesukanan dan setia kawan.
"Juga kepada pegawai, pekerja dan sukarelawan, saya juga ucapkan selamat maju jaya dalam menjalankan tugasan.
"Akhir sekali sudah pasti kepada penonton dan penyokong. Saya harap semuanya dapat menikmati dan meraih pengalaman berharga," katanya pada ucapan ketika majlis pembukaan, sebentar tadi.
Dalam masa sama, Tunku Imran juga mengucapkan tahniah kepada Malaysia yang kembali tampil selaku tuan rumah selepas tempoh 16 tahun.
"Ini kali keenam Malaysia yang juga antara pengasas kejohanan menjadi tuan rumah selepas kali terakhir pada 2001, juga di Kuala Lumpur.
"Mewakili persekutuan (SEAGF), saya ucapkan tahniah dan terima kasih kepada Malaysia terutamanya kepada Pengerusi Jawatankuasa Penganjur (MASOC), Khairy Jamaluddin (Abu Bakar) atas kerja keras untuk memastikan penganjuran ini berjaya dan menjadi sesuatu yang tidak akan dilupakan," katanya.
BH

No comments

Powered by Blogger.