Header Ads

Rayzam Cukur Botak Selepas Akhiri Penantian Sedekad Emas 110m Lari Berpagar #BangkitBersama #KitaJuara #KL2017


KUALA LUMPUR: Atlet negara Rayzam Shah Wan Sofian menamatkan penantian emasnya selama sedekad selepas berjaya merampas kembali kejuaraan 110m lari berpagar lelaki di laman sendiri pada Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017), pada Sabtu.

Atlet kelahiran Keningau, Sabah itu mencatatkan larian 13.83s mendahului juara bertahan empat edisi berturut-turut dari Thailand, Jamras Rittidet yang memenangi perak dengan catatan 14.10s dan pemenang pingat gangsa Clinton Kingsley B dari Filipina yang mencatat 14.15s.

Rayzam berkata kejayaannya kali ini berikutan keyakinan tinggi sebelum KL2017 bermula, selepas melihat catatan terbaru Jamras pada Terbuka Vietnam di Ho Chi Minh baru-baru ini.

"Jamras masa itu cuma mencatatkan 14.06s sahaja, semasa pemanas badan saya dah yakin boleh menang," katanya kepada pemberita selepas meraikan kemenangan dengan membotakkan kepalanya sebaik saingan tamat sebagai 'hadiah' kepada isterinya, Eriyana Idris yang hadir bersama anak perempuannya, hari ini.

"Saya janji dengan isteri saya sudah lama, dua tiga bulan sebelum ini lagi, dia suruh saya botak, ok saya kata kalau saya menang Sukan SEA saya akan tunaikan" katanya.

Kali terakhir Rayzam memenangi pingat emas acara tersebut di kejohanan terbesar Asia Tenggara itu ialah pada edisi 2007 di Korat, Thailand.

Mei lepas, pada kejohanan Kurpfalz Gala, Jerman, Rayzam mencipta sejarah selepas memecahkan rekod 23 tahun kebangsaan dalam acara sama dengan melakukan catatan masa 13.67s, sekali gus memadamkan rekod 13.73s yang dilakukan Nur Herman Majid pada Sukan Asia 1994 di Hiroshima, Jepun.

Rayzam berkata ini bukan kejohanan terakhirnya, dan beliau akan bersiap sedia untuk melayakkan diri ke dua kejohanan besar tahun depan iaitu Sukan Asia di Indonesia dan Sukan Komanwel, Australia.

Sementara itu, jurulatihnya Jan May dari Jerman, tiba di sini tiga hari lepas, untuk melihat persembahan anak buahnya dan beliau percaya Rayzam boleh melayakkan diri ke Sukan Komanwel jika dapat mengekalkan momentum.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Rayzam, yang memiliki catatan peribadi terbaik 13.67s, perlu berusaha dengan lebih keras untuk melepasi had kelayakan 13.53s untuk ke Sukan Komanwel.

- Bernama

No comments

Powered by Blogger.