Header Ads

Skuad negara belasah Filipina 16-0 #BangkitBersama #KitaJuara #kl2017


KUALA LUMPUR: Skuad hoki dalam dewan lelaki negara melaungkan amaran awal kepada pasukan lain, apabila membuka saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (Kl2017) dengan membelasah Filipina 16-0 hari ini.
Skuad negara hanya memerlukan empat minit untuk berada di hadapan, selepas membuka jaringan menerusi pukulan sudut kapten pasukan, Muhammad Najib Abu Hassan dan gol padang Mohd Shafiq Yaacob di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.
Pasukan yang terdiri daripada pemain skuad pembangunan itu, terus memburu peluang untuk kekal selesa di hadapan dengan jaringan 7-0 pada penghujung babak pertama, sebelum mengesahkan kemenangan dalam acara yang dipertandingkan buat kali pertama di Sukan SEA.
Mohd Shafiq beraksi dengan cemerlang apabila menjadi penjaring terbanyak perlawanan, dengan menjaringkan tiga gol padang pada minit keempat, ke-14, dan ke-40, serta jaringan pukulan sudut pada minit ke-28.
Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan itu, jurulatih Mohd Amin Rahim berkata pemain agak gementar pada awal perlawanan kerana kali pertama beraksi dalam dewan yang penuh dengan penyokong, sebelum menguasai perlawanan selepas itu.
"Keputusan ini memang sudah dijangka dan perlawanan ini lebih kepada meningkatkan keyakinan pemain sebelum bertemu dengan pasukan yang lebih kuat seperti Thailand dan Indonesia.
"Apa yang penting bagi saya ialah kita harus menang setiap perlawanan untuk mara ke final dan memastikan emas itu menjadi milik kita," katanya.
Malaysia seterusnya akan bertemu Vietnam pada malam ini, sebelum mengharungi cabaran getir menentang Thailand esok, Indonesia pada Rabu sebelum menamatkan saingan round robin menentang Singapura pada Khamis.
Dua pasukan teratas kumpulan akan mara ke perlawanan akhir, manakala pasukan di kedudukan ketiga dan keempat akan beraksi di perlawanan penentuan pingat gangsa yang dijadualkan pada Sabtu ini. - BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.