Header Ads

Tiada kecederaan serius - Khairy


SUBANG JAYA: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mengesahkan tiada kecederaan serius membabitkan atlet skuasy negara luar selepas dua bas yang membawa mereka, terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke Stadium Bukit Jalil, pagi tadi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas insiden berkenaan yang membabitkan dua bas membawa peserta skuasy Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dari Myanmar, Filipina dan Thailand.
"Memang kita cuba mengelak perkara seperti ini (kemalangan) berlaku, namun ia masih terjadi.
"Bagaimanapun, tiada kecederaan serius berlaku, dan semua peserta yang cedera dihantar ke Institut Sukan Negara (ISN) dengan segera untuk menerima rawatan lanjut," katanya.
Dalam kejadian jam 7.50 pagi itu, 13 atlet dari Thailand, 10 atlet Myanmar dan lima atlet Filipina dalam perjalanan dari Hotel Marriott Putrajaya ke lokasi perlawanan yang dijadualkan berlangsung pagi tadi.
Difahamkan kemalangan berlaku apabila bas paling hadapan menekan brek secara tiba-tiba bagi mengelak motosikal yang berada dihadapannya.

No comments

Powered by Blogger.