Header Ads

Wai Kin Raih Emas Kedua Peribadi Walaupun Cedera #BangkitBersama #KitaJuara #KL2017


KUALA LUMPUR, 21 Ogos - Walaupun cedera dan tidak begitu cergas untuk beraksi, atlet wushu negara Yeap Wai Kin bertindak nekad untuk bertanding dan ia jelas membuahkan hasil apabila beliau meraih emas dalam acara Qiangshu lelaki pada saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) hari ini.

Aksi cemerlang beliau membolehkan beliau memenangi pingat emas kedua, selepas semalam menang emas dalam acara Jianshu.

Beliau yang memperoleh 9.68 mata mengetepikan rakan senegara Wong Weng Son yang terpaksa akur dengan pingat perak selepas mengutip 9.65 mata, Ini kali kedua Weng Son tunduk kepada Wai Kin selepas turut sekadar meraih perak dalam acara Jianshu semalam.

"Saya cedera di bahu kanan semasa latihan semalam tapi ia tidak menghalang saya untuk terus beraksi hari ini. Kecederaan ini telah lama tetapi semalam terkena dan sakit balik," katanya kepada pemberita ketika ditemui di venue acara wushu di di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Esok beliau akan turun beraksi dalam acara Changquan dengan misi mencipta hatrik emas dalam saingan wushu pada temasya Sukan SEA kali ini.

- Bernama

No comments

Powered by Blogger.