Header Ads

Abdul Latif Di Jangka Pecah Rekod Dunia #KL2017 #KAMILUARBIASA


KUALA LUMPUR – Dua pingat emas lompat jauh Sukan Para ASEAN hanya menunggu masa untuk disahkan menjadi milik Malaysia tetapi peminat terpaksa menunggu pada Jumaat ini untuk menyaksikannya apabila jaguh Paralimpik dan dunia, Abdul Latif Romly beraksi bersama-sama Eryanto Bahtiar.

Sukan olahraga akan membuka tirai hari ini dan yang menjadi persoalan kini apakah Abdul Latif mampu memperbaharui rekod lompat jauh Para Dunia kategori T20 (masalah pembelajaran) apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Jurulatih acara lompatan negara Mohd. Syahrul Amri Mohd. Suhaimi berkata, Abdul Latif akan cuba memanfaatkan temasya kali ini untuk meraih pingat emas di samping memperbaiki catatan terbaiknya 7.60 meter yang juga rekod dunia.

Katanya, satu lagi pingat emas dijangka mampu diraih menerusi Eryanto dalam kategori T46 (kekurangan anggota badan).

“Saya dapat lihat peningkatan positif dua atlet ini dan kali ini tidak banyak acara lompatan dipertandingkan berbanding acara trek kerana itu saya cuma meletakkan sasaran dua pingat emas.

“Bagi Abdul Latif pula saya percaya selain meraih pingat emas dia juga mampu melakukan kejutan untuk memperbaharui rekod dunia.

“Jika dia berjaya melakukan 7.61m pada 22 September ini, bermakna habis semua (rekod) pecah (rekod Para ASEAN, Para Asia, Para Dunia),” katanya.

Pencabar terdekat Abdul Latif dalam saingan T20 ialah atlet dari Singapura, Suhairi Suhani dan Fadli Amirullah dari Indonesia yang masing-masing memenangi pingat perak serta gangsa ketika Sukan Para ASEAN 2015 di Singapura.

Abdul Latif turut mengambil bahagian dalam saingan lompat jauh Sukan SEA bulan lalu namun menamatkan persaingan di kedudukan ketujuh daripada 11 peserta dengan mencatatkan lompatan terbaik 7.34m.

Kem olahraga negara meletakkan sasaran 40 pingat emas mampu diraih kali ini. - utusan online

No comments

Powered by Blogger.