Header Ads

Celcom Axiata Taja BAM Hingga Sukan Olimpik 2020


KUALA LUMPUR: Celcom Axiata Berhad melanjutkan kontrak selaku penaja utama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hingga temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Penajaan eksklusif selama 15 bulan bermula 4 Jun 2019 hingga 31 Ogos 2020 itu membabitkan jumlah tambahan penajaan bernilai RM10 juta, menjadikan jumlah keseluruhan RM34 juta.

Penajaan itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Celcom Axiata dalam menyokong BAM dalam usaha persatuan itu memacu agenda sukan nasional ke arah pembangunan bakat dalam sukan badminton.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata pihaknya amat berbesar hati kerana berpeluang meneruskan lagi kerjasama dengan Celcom Axiata selepas kejayaan pada tahun pertama.

"Celcom telah menjadi sebahagian daripada keluarga badminton kami. Kami juga berharap untuk membentuk kerjasama yang lebih erat untuk memajukan sukan badminton di peringkat elit dan akar umbi.

"Kami juga berharap agar kerjasama ini akan terus menyuburkan lagi perkembangan kami serta memacu program elit untuk membawa pulang pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik Tokyo nanti, " katanya ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian penajaan antara Celcom Axiata dan BAM.

Majlis itu disaksikan isteri perdana menteri yang juga penaung BAM,, Datin Seri Rosmah Mansor.

Sementara itu, Pengerusi Celcom Axiata Berhad, Tan Sri Jamaludin Ibrahim berkata pihaknya berbangga untuk menjadi penyokong utama BAM bagi memacu pembangunan sukan badminton di Malaysia.

"Sukan khususnya badminton, merupakan salah satu cara untuk menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang," katanya.

Celcom Axiata dan Kumpulan Axiata telah mencatat rekod dalam menyokong arena badminton Malaysia, bermula dengan penganjuran Piala Axiata pada 2012-2014 dan Kejohanan Terbuka Malaysia Celcom Axiata.

Celcom Axiata menandatangani tajaan dengan BAM bernilai RM24 dengan komitmen selama tiga tahun pada Mac 2016. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.