Header Ads

De Grasse 'Bantu' Eddy Raih Emas #KL2017 #KAMILUARBIASA


KUALA LUMPUR - Membayangkan diri berlari sepantas jaguh pecut Kanada, Andre De Grasse menjadi resipi kejayaan atlet paling junior dalam olahraga paralimpik negara, Eddy Bernard ketika mengungguli acara 100 meter (m) Sukan Para ASEAN Ke-9 kategori T37 (cerebral palsy) di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Eddy, 16 tahun yang tidak diletakkan sebagai sandaran pingat emas, memenangi saingan akhir acara berkenaan dengan catatan masa 12.48 saat (s) menewaskan rakan senegara Jacklon Ganding di tempat kedua dengan catatan 12.48s manakala gangsa milik Le Van Manh dari Vietnam selepas hanya mampu mencatat 12.68s.

Kata Eddy, De Grasse menjadi idola kerana status pelari itu yang tidak begitu diberikan perhatian namun sering melakukan kejutan ke atas pilihan utama kejohanan, sekali gus semangat pelari Kanada berkenaan menjadi inspirasi buat atlet dari Sandakan, Sabah itu.

Tambah Eddy, dia juga telah membuktikan bahawa persediaan singkat bagi menghadapi temasya di Kuala Lumpur juga bukan alasan untuk tidak berupaya meraih kecemerlangan.

“Saya hanya berlatih tiga bulan untuk menghadapi Sukan Para ASEAN Ke-9 namun saya tidak berputus asa berusaha melakukan terbaik buat negara.

“Sewaktu saingan akhir hari ini, tiada apa yang saya fikirkan selain mahu mendapatkan pingat emas biarpun bukan pilihan utama.

“Lebih membanggakan, ini juga adalah penyertaan kali pertama saya dalam Sukan Para ASEAN dan berjaya meraih pingat emas,” kata Eddy.

Dalam Sukan Para ASEAN kali ini, sejumlah 17 kategori acara pecut 100m dipertandingkan melibatkan 10 kategori lelaki dan tujuh wanita. - utusan online

No comments

Powered by Blogger.