Header Ads

F1: Mercedes-AMG Petronas Lakukan Terbaik Di GP Terakhir


KUALA LUMPUR: Berbaki enam perlumbaan, pemandu Formula One Valtteri Bottas tidak rasa tertekan untuk mencari penamat 1-2 buat pasukan Mercedes AMG-Petronas dalam merebut gelaran juara kategori pemandu musim ini.

Sebaliknya, pelumba dari Finland itu lebih selesa untuk mengharungi perlumbaan satu demi satu dengan saingan paling hampir di laman sendiri Formula One Grand Prix Malaysia Jumaat ini.

Ketika ini, rakan sepasukan Bottas yang juga juara dunia tiga kali, Lewis Hamilton mendahului kedudukan keseluruhan dengan 263 mata manakala seteru utama dari pasukan Ferrari Sebastian Vettel di tangga kedua dengan 235 mata dan Bottas ketiga, 212 mata.

“Seperti di Singapura, ia menunjukkan apa juga boleh berlaku (dalam perlumbaan) dan kamu tidak tahu apa yang akan terjadi.

“Jadi, kami mungkin akan mengambilnya secara peringkat demi peringkat. Sejak berpindah dari Williams Martini Racing, awal tahun ini, saya juga semakin menunjukkan peningkatan bersama pasukan.

“Saya juga mengalami beberapa minggu perlumbaan yang sukar tetapi berharap dapat kembali menemui tahap prestasi terbaik bagi merebut gelaran untuk tahun ini,” kata Bottas ketika ditemui pemberita pada Selasa.

Hamilton akui cabaran memburu kejuaraan pada kali ini, adalah sengit.

Dalam pada itu, Hamilton turut akui cabarannya untuk memburu gelaran juara dunia musim ini cukup berbeza berbanding sebelum ini kerana perlu bersaing sengit dengan Vettel.

“Kami dilihat mendominasi saingan selama beberapa tahun termasuk musim lalu. Saya menikmati cabaran kali ini kerana perlu bersaing dengan pemandu pasukan lain yang sudah lama saya tidak alami (Vettel).

“Tapi beberapa perubahan peraturan dan jentera menyaksikan Ferrari mempamer aksi terbaik pada awal saingan. Namun beberapa pusingan terakhir menyaksikan kami berjaya kembali ke landasan tepat,” kata Hamilton.

Pada musim lalu, Hamilton tewas kepada Nico Rosberg untuk rebut gelaran juara dunia.

Namun pada musim 2014 dan 2015 Hamilton berjaya menewaskan rakan sepasukannya itu.

Mengulas mengenai perlumbaan akhir GP Malaysia hujung minggu ini selepas 18 tahun penganjurannya, Hamilton berkata sudah tentu sasaran adalah untuk meraih kemenangan sebagai hadiah terbaik untuk peminat. - astro awani

No comments

Powered by Blogger.