Header Ads

Pemain Skuad Harimau Malaya Dapat Semangat Baharu


MELAKA: Pemain skuad Harimau Malaya mendapat semangat baharu dan lebih berkeyakinan untuk meneruskan kempen Kelayakan Piala Asia 2019 setelah meraih satu mata pertama selepas seri dengan Hong Kong 1-1 malam tadi.

Kapten pasukan Safiq Rahim berkata berdasarkan perlawanan malam tadi, mutu persembahan pasukannya dilihat semakin baik apabila semua jentera bermain sebagai satu pasukan.

"Walaupun hanya mencatat keputusan seri 1-1 semua pemain telah menunjukkan peningkatan dengan corak permainan yang lebih baik daripada sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan malam tadi.
Malaysia berjaya mengutip satu mata pertama selepas berjaya mencatat keputusan seri 1-1 kepada Hong Kong pada aksi kumpulan B, Kelayakan Piala Asia 2019 yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Krubong malam tadi.

"Diharapkan bahawa semua pemain dapat mengekalkan corak permainan agar dapat menjana keputusan yang lebih baik pada perlawanan berikutnya.

"Kali ini kita tidak mempunyai rezeki untuk menang namun saya percaya bahawa kemenangan akan berpihak pada pasukan negara pada perlawanan berikutnya dan insya-Allah kita mampu mendapat tiga mata penuh nanti," katanya.

Pada perlawanan berikutnya, Malaysia dijadual menentang Korea Utara di Stadium Kim Il-sung, Pyongyang, Korea Utara pada 5 Okt depan. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.