Header Ads

Skuasy: Nicol Mara Ke Final Terbuka Netsuite


KUALA LUMPUR: Impian ikon skuasy negara Datuk Nicol David untuk memenangi gelaran pertama Kejohanan Terbuka Skuasy Netsuite semakin cerah apabila mara ke final selepas mengalahkan Dipika Pallikal Karthik daripada India di San Francisco, Amerika Syarikat pada Jumaat (Sabtu di Malaysia).

Pemain nombor lima dunia itu menumpaskan pemain India itu 11-3, 11-0, 11-5 dalam hanya 22 minit, tanpa memberikan sebarang peluang kepada pemain nombor 21 dunia itu dalam aksi yang berlangsung di Justin Herman Plaza.

"Beliau pemain yang bahaya, jadi saya perlu peka. Rentak permainan saya di gelanggang ini hari ini amat baik, dan saya berasa amat gembira berjaya menang 3-0 dan berpuas hati dapat mengekalkan corak permainan saya hari ini.

"Ini pertama kali saya melangkah ke final di sini, saya berasa amat teruja untuk beraksi di depan penonton yang hebat. Saya sudah bersedia sepenuhnya untuk perlawanan esok dan akan memberikan yang terbaik," kata Nicol yang dipetik berkata demikian oleh laman web rasmi Persatuan Skuasy Profesional (PSA), psaworldtour.com.

Juara dunia lapan kali itu akan bertemu pemain nombor enam dunia daripada England, Sarah-Jane Perry, dalam perlawanan akhir esok, dengan harapan untuk menjulang gelaran kedua PSA Tour tahun ini, selepas menjuarai kejohanan pertama Ciudad de Floridablanca, PSA W70 di Colombia pada Mac, menamatkan kemarau gelaran selepas menjulang gelaran Terbuka Hong Kong pada Disember 2015.

Bekas pemain nombor satu dunia itu dan pemain pilihan kedua kejohanan itu melayakkan diri dalam kelompok empat pemain teratas selepas mengalahkan Victoria Lust daripada England, dua hari lepas. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.