Header Ads

Sukan Para ASEAN Ke-9 Di Tutup Secara Rasminya


KUALA LUMPUR 23 Sept. - Sukan Para ASEAN Ke-9 melabuhkan tirai hari ini dengan Malaysia menutup aksi selaku naib juara yang sekali gus menyaksikan kontinjen negara memperbaiki pencapaian temasya, dua tahun lalu di Singapura.

Dengan 90 pingat emas, 85 perak dan 84 gangsa, atlet para Malaysia mempamerkan peningkatan yang ketara berbanding tempat ketiga menerusi 52 emas, 58 perak dan 37 gangsa ketika beraksi di negara Temasek itu.

Upacara penutup yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah dilangsungkan dalam suasana meriah yang membawa semangat perpaduan warga ASEAN di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Mengiringi beliau ke upacara tersebut, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; Presiden Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF), Mejar Jeneral, Osoth Bhavilai dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), SM Nasaruddin SM Nasimuddin.

SM Nasaruddin di dalam ucapannya berkata, para atlet telah membuktikan kepada umum bahawa tiada apa yang mustahil selagi ada kemahuan serta keinginan di dalam diri mereka untuk mengukir sebuah kejayaan.

“Anda telah mengatasi keupayaan diri, dan tidak lagi mengharapkan orang lain menerima anda seadanya. Anda juga telah menetapkan semula sempadan bagi memburu kejayaan. Anda kini melangkaui had kemampuan diri. Setiap atlet, pasti ada cerita istimewa yang mahu dikongsikan. Jadi, kami tabik kepada anda!,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Indonesia yang muncul juara keseluruhan mengumpul 123 pingat emas, dengan juara bertahan, Thailand berada di tempat ketiga menerusi 68 emas.

“Buat juara keseluruhan Indonesia, tahniah anda telah membuat negara anda berbangga dengan anda. Kepada wira dan wirawati Malaysia pula, terima kasih di atas pencapaian luar biasa. Ini membuktikan sekali lagi, kekangan fizikal mahupun intelektual tidak dapat menghalang anda untuk berjuang mencapai impian,” ujarnya.

Selain perararakan masuk sebelas kontinjen yang bertanding, orang ramai turut dihiburkan dengan persembahan kebudayaan, sebelum bendera temasya diturunkan dan obor dipadamkan sebagai tanda simbolik berakhirnya Sukan Para ASEAN Ke-9 di Kuala Lumpur.



Bendera temasya kemudiannya diserahkan kepada Filipina selaku tuan rumah temasya ke-10 pada 2019 serta lagu kebangsaan negara itu turut berkumandang dan disusuli persembahan video istimewa dari negara berbahasa Tagalog itu.

Upacara diakhiri dengan persembahan nyanyian daripada penyanyi tersohor tanahair, Yuna yang mendendangkan enam buah lagu bagi menghiburkan para penonton yang hadir. - utusan online

No comments

Powered by Blogger.