Header Ads

Gavin Raih Gelaran Sulung Jelajah Asia Di Taiwan Masters


KUALA LUMPUR: Pemain golf profesional Malaysia, Gavin Kyle Green menamatkan kemarau gelaran apabila merangkul kejuaraan sulung Jelajah Asia di Taiwan Masters, semalam.

Pemain berusia 23 tahun itu yang hanya meraih naib juara sebanyak tiga kali musim ini, melakukan satu bawah par 71 untuk berkelebihan dua pukulan ke atas empat pencabar terdekat pada pusingan akhir kejohanan itu yang berlangsung di Kelab Golf dan Country Taiwan.

Pencapaiannya mencatat keseluruhan sembilan bawah par 279 itu menyaksikan beliau membawa pulang hadiah wang tunai AS$160,000 (RM675,736), selain merampas kedudukan teratas dalam kedudukan Order of Merit Jelajah Asia daripada pemain Australia, Scott Hend.

Pendahulu semalaman, Juvic Pagunsan dari Filipina yang melakukan 74 pukulan, berkongsi di tempat kedua dengan tiga lagi pemain - Adilson Da Silva dari Brazil (69), Scott Vincent dari Zimbabwe (70) dan Keith Horne dari Afrika Selatan (71), dengan catatan tujuh bawah par 281.

Dua lagi pemain Malaysia - Ben Leong dan Nicholas Fung, masing-masing berkongsi di tempat ketujuh dan ke-16, manakala pemain berpengalaman negara, Danny Chia menduduki tempat terakhir pada kejohanan berkenaan.

Gavin mendedikasikan kemenangan bermakna itu kepada datuknya, Gerald Green yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 20 Sept lepas, sambil memberitahu mendiang banyak memainkan peranan memberi inspirasi kepadanya bagi mencapai kejayaan dalam sukan berkenaan.

"Sebelum ini saya sudah beritahu, ia sesuatu yang bermakna jika saya memenangi kejuaraan ini untuk beliau," kata Gavin seperti dipetik dalam laman sesawang Jelajah Asia, www.asiantour.com.

Pada masa sama, beliau mengakui saingan hari ini cukup sengit, kerana terpaksa bersaing rapat dengan empat lagi pencabar terdekat sebelum berjaya meraih kejuaraan tersebut.

KEPUTUSAN PUSINGAN AKHIR:

279 - GAVIN KYLE GREEN (MAS) 67-70-71-71;

281 - Adilson da Silva (BRA) 71-68-73-69, Scott Vincent (ZIM) 69-76-66-70, Keith Horne (RSA) 70-68-72-71, Juvic Pagunsan (PHI) 68-69-70-74;

283 - Danthai Boonma (THA) 68-72-71-72;

285 - Suradit Yongcharoenchai (THA) 68-72-75-70, Gaganjeet Bhullar (IND) 73-73-69-70, Arjun Atwal (IND) 73-71-70-71, BEN LEONG (MAS) 71-69-71-74;

286 - Settee Prakongvech (THA) 65-73-78-70;

287 - Chang Yikeun (KOR) 71-74-72-70, Tirawat Kaewsiribandit (THA) 74-69-73-71, Prom Meesawat (THA) 73-71-71-72;

288 - Lu Chien-soon (TPE) 75-72-69-72;

289 - Lu Wen-teh (TPE) 71-72-73-73, NICHOLAS FUNG (MAS) 70-75-71-73, Antonio Lascuna (PHI) 70-71-73-75;

290 - Liang Wen-chong (CHN) 74-73-72-71, Siddikur Rahman (BAN) 71-73-74-72, S.Chikkarangappa (IND) 70-71-76-73;0

291 - DANNY CHIA (MAS) 71-75-75-70.

- astro awani

No comments

Powered by Blogger.