Header Ads

Emas Pertama Pembakar Semangat Atlet Negara


GOLD COAST 5 April - Pingat emas pertama negara yang diraih oleh atlet angkat berat, Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad menjadi penyuntik semangat dan permulaan positif kepada kontinjen Malaysia untuk terus memburu kejayaan dalam Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia.

Ketua kontinjen negara, Huang Ying How berkata, kejayaan itu mampu menyuntik rangsangan kepada atlet lain untuk mempamerkan aksi terbaik mereka pada acara seterusnya nanti.

"Saya percaya ini merupakan rangsangan kepada atlet lain untuk berjaya. Kita masih ada atlet beraksi untuk rebut pingat petang ini, saya harap permulaan yang cemerlang ini dapat diteruskan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan aksi Azroy Hazal Wafie di Carrara Sports and Leisure Centre, di sini hari ini.

Huang turut mengucapkan tahniah kepada skuad angkat berat negara, terutamanya kepada Azroy Hazal Wafie, jurulatihnya, Wang Zhi Quan dan juga pengurus pasukan, Amirul Hamizan Ibrahim kerana telah mengharumkan nama negara.

"Kita memang jangka bahawa Azroy Hazal Wafie mampu sumbang pingat kerana dia merupakan atlet pilihan dan apabila dia mula pecahkan rekod temasya, kami pasti pingat emas jadi milik Malaysia," katanya.

Atlet berusia 24 tahun yang baharu menyambut ulang tahun kelahirannya semalam, menyumbang pingat pertama yang juga pingat emas untuk Malaysia dalam kategori 56kg dengan angkatan seberat 261kg sekali gus memecahkan rekod milik atlet negara dan idolanya, Amirul Hamizan iaitu 260kg yang dilakukan pada edisi 2002 di Manchester, England.

Selain memecahkan rekod temasya, beliau juga turut mencipta rekod baharu dalam acara snatch selepas membuat angkatan seberat 117kg, memadamkan rekod lama berusia lapan tahun, juga milik Amirul Hamizan seberat 116kg yang dilakukan di New Delhi pada 2010. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.