Header Ads

Malaysia Mampu Jinakkan England – Van Huizen


GOLD COAST 3 April – Juru­latih hoki lelaki negara, Stephen Van Huizen melahirkan keyakinan anak buahnya mampu membenamkan England apabila turun beraksi dalam perlawanan pertama Kumpulan B Sukan Komanwel pada Jumaat ini.

Berdasarkan prestasi semasa yang ditunjukkan anak buahnya ketika ini dalam tiga aksi persahabatan di sini, perkara itu memberi petanda baik bahawa skuad negara sudah bersedia untuk turun beraksi.

“Aksi persahabatan itu banyak membantu pemain kita meningkatkan kecergasan dan pada masa yang sama memberi peluang kepada skuad negara mencuba gandingan dan strategi baharu.

“Setakat ini semua pemain bebas daripada kecederaan dan itu satu berita gembira untuk kami,” katanya selepas menyaksikan anak buahnya tumpas 0-2 kepada Australia hari ini.

Terdahulu dalam dua aksi persahabatan menentang Institut New South Wales pada 29 dan 31 Mac lalu, skuad negara menang 4-2 dan 5-2 dan hari ini kali pertama mereka diuji skuad Australia.

Selain Malaysia dan England, turut berada dalam Kumpulan B adalah juara Asia, India, termasuk Pakistan dan Wales.

Australia yang merupakan juara bertahan Sukan Komanwel bagaimanapun berada dalam Kumpulan A bersama New Zealand, Scotland, Kanada dan Afrika Selatan.

No comments

Powered by Blogger.