Header Ads

Misi Tebus Malu 2014


GOLD COAST 4 April - Empat tahun lalu skuad hoki lelaki negara pulang dari Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland dengan wajah suram apabila mencatat keputusan terburuk dalam sejarah penyertaannya.

Mereka bukan sahaja menamatkan persaingan dengan menduduki tempat ketujuh tetapi yang lebih parah apabila tewas kepada peserta bukan tradisi dalam hoki iaitu Trinidad & Tobago dalam peringkat kumpulan.

Sejak kekalahan itu, skuad lelaki dipandang remeh oleh peminat namun membina semula maruah mereka dengan kejayaan melayakkan diri ke Piala Dunia yang akan berlangsung di India selepas meraih tempat keempat kejohanan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London pada Jun tahun lepas.

Kejayaan muncul sebagai naib juara Piala Asia di Dhaka, Bangladesh pada Oktober lalu turut menjadikan Malaysia sebagai antara pasukan tumpuan.

Kejayaan terbaharu mereka adalah mencipta kejutan ke atas pasukan nombor dua dunia, Argentina pada peringkat awal kejohanan Piala Sultan Azlan Shah walaupun juara Olimpik itu membalas dalam peringkat klasifikasi.

Di Gold Coast, tiada Argentina dan Trinidad & Tobago namun undian meletakkan Malaysia dalam Kumpulan B bersama India, Pakistan, Wales dan England yang menewaskan Malaysia di Ipoh dua bulan lalu.

Malaysia akan memulakan persaingan pada hari kedua temasya dan ketua pasukan, Mohamad Sukri Abdul Mutalib berharap pengalaman buruk di Glasgow tidak berulang. Mohamad Sukri tiada dalam pasukan yang tewas kepada Trinidad & Tobago pada 2014.

Jika dilihat kepada undian untuk peringat awal, Wales adalah pasukan paling lemah dalam Kumpulan B dan Mohamad Sukri menegaskan Malaysia Tigers tidak seharusnya kehilangan mata apabila bertemu pasukan dari Eropah itu kelak.

“Kami tidak boleh memandang rendah kepada pasukan seperti Wales untuk memastikan peristiwa empat tahun lalu tidak berulang. Pemain telah mendapat pengajaran daripada pengalaman 2014. Di sini, saya lihat semua pasukan adalah sama hebat dan kedudukan dalam ranking dunia bukan ukuran sebenar,” katanya.

Malaysia akan memulakan kempen dengan bertemu England pada hari kedua temasya di Pusat Hockey Gold Coast, Labrador.

Mengulas mengenai pertemuan itu, pemain tengah, Fitri Saari berkata, anggota skuad Malaysia Tigers mahu menebus kekalahan 2-7 yang mereka terima dalam Piala Sultan Azlan Shah.

“Kesilapan kami ketika itu adalah gagal mengambil kesempatan daripada peluang yang tercipta manakala England menyempurnakan semua peluang yang mereka ada. Saya yakin jika kami tidak mengulangi kesilapan di Ipoh, England mampu kami jinakkan,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.